Sunday, December 30, 2012

Kadangkala..




Kadangkala
Akan ada duka yang tidak mampu kita kongsi 
Walau ada seribu telinga mahu mendengar
Walau ada seribu mulut yang bertanya
Hatta,
Walau ada begitu banyak bahu untuk kita bersandar dan menangis..

Akan ada
Duka yang masih terbungkam dan tersimpan
Disimpan rapi dalam hati
Tersembunyi dalam senyum dan tawa..
Dalam riang dan ceria

Sesungguhnya
Hanya DIA
Maha mengetahui
Maha mengerti
Maha memujuk
Maha mengasihani

Dari Dia
Jiwa masih teguh
Hati masih tabah
Meneruskan hari-hari
Masih mampu tersenyum lagi
Masih mampu memberi
Walau duka itu masih ada
Tapi masih mampu bahagia

Hanya padaMU aku berserah
Hanya padaMU aku memohon pertolongan,
Hanya padaMU tempat ku mengadu
Terima kasih ALLAH SWT



Tuesday, December 4, 2012

Bila ditanya seperti apakah yang digelar sebagai SAHABAT ?



Usai mengadakan kelas tambahan bersama pelajar-pelajar yang dikasihi,aku meluangkan sedikit masa untuk mereka berkongsi cerita denganku atau bertanyakan apa sahaja soalan padaku."Cikgu,kenapa sekarang susah sangat untuk kita mencari sahabat yang sejati?".Soalan yang menarik perhatianku.Aku memandang wajah mereka satu persatu dengan penuh kasih dan sayang.Aku pasti soalan ini kerap kali bermain diminda mereka yang sedang meniti usia remaja yang kita tahu pada usia inilah mereka suka mencari,memahami mencuba dan pelbagai lagi keinginan yang ada.Andai baik yang di cari maka baiklah perbuatannya (InsyaAllah).Andai buruk yang dicari maka buruklah perbuatannya(Nauzubillah),melainkan sekiranya bertaubat dari apa yang dilakukan yakni belajar dari kesilapan dan perbuatan buruk yang dilakukan seterusnya berjanji pada diri agar tidak sekali-kali mengulangi  perkara yang telah dilakukan.

Aku tersenyum lalu aku bertanya satu soalan kepada mereka.Aku mengharapkan agar soalan ini membuatkan mereka berfikir dan sama-sama bermuhasabah diri"Mengapa ye kita susah untuk menjadi sahabat sejati kepada orang lain?"Ada yang mula menundukkan pandangan,ada yang terpinga-pinga dan ada juga yang mula bergenang air matanya.Aku mengajak mereka merenung kata-kata yang sangat indah dari Saidina Ali:

"Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari"-Renung-renungkan kata Saidina Ali ni.

Mereka mengangguk perlahan.Setujukah?Fahamkah?Aku tidak meneruskan perbualan itu,sengaja membiarkan mereka berfikir dan aku ingin lanjutkan lagi di dalam kelas yang seterusnya agar semua tidak terkecuali seorang pun pelajar ku tertinggal dengan apa yang akan aku jelaskan nanti.

Esoknya,ada seorang pelajar datang kepadaku setelah tamat sesi persekolahan.Inilah pelajar yang bergenang air matanya semalam.Tanyaku"Apa yang boleh cikgu bantu?"."Cikgu,boleh cikgu jelaskan bagaimana kita ingin menilai bahawa dia sememangnya sahabat yang baik pada kita?"Tanya pelajar tersebut dan ini jawapanku:

Saidina Ali bin Abi Talib ada berkata"Saudaramu yang sebenar ialah orang selalu menolongmu (diwaktu senang dan susah) dan ia sanggup berkorban kerana memberi manfaat kepadamu,dan ia sanggup memecahkan (menyelerakkan ) segala urusannya kerana menolong kamu dalam mengahadapi bala dan ujian"

Berdasarkan penulisan Ustaz Muhammad Syikhul Islam berjudul Sahabat,beliau berkongsi ilmu mengenai tingkatan makna sahabat menurut Al-Quran.Sahabat di dalam Al-Quran diasingkan mengikut beberapa tingkatan iaitu:-

1.Shohib (Teman)
  • Boleh jadi Shohib tidak mempunyai pendapat yang sama dengan kita dalam beberapa perkara,tetapi kerana dia selalu menemani kita,maka kita menyebutnya sebagai sahabat dalam perjalanan.
2.Shodiq(Benar atau Jujur)
  • Seseorang yang selalu menyatakan sesuatu dengan kebenaran dan kejujuran.Sikap yang sentiasa berkata benar demi kebaikan sahabatnya.
3.Kholil (Celah )
  • Seseorang yang begitu dekat dengan kita.Sikap dan perilakunya kepada kita dilandasi dengan keikhlasan dan kasih sayang yang terasa menyentuh kalbu kita.Seorang khalil mempunyai 'instinct' dan simpati yang mendalam pada sahabatnya.Ketika sahabatnya gembira,bersuka,sedih,berduka dan berputus asa,Seorang khalil dapat merasakan hal yang sama.Khalil ibarat cerminan diri kita
4.Bithonah (Orang yang mendekat)
  • Seseorang yang kita beritahu rahsia peribadi kita kerana teramat dekatnya dan kuatnya persahabatan yang terjalin.
Luqmanul Hakim pernah mengajarkan anaknya bagaimana cara mencari sahabat.Luqmanul Hakim menyuruh anaknya untuk menguji kelayakan seseorang yang dapat dijadikan sahabat dengan cara membuatkan dia marah.Apabila seseorang tersebut menyikapi sikap kita dengan adil,wajar dan tidak berlebihan maka seseorang tersebut layak menjadi sahabat.

Sahabat yang baik,
Apabila kita memandangnya,membawa kita mengingati Allah,
Mendengarkan kata-katanya menambahkan ilmu,
Terlihat gerak-gerinya meninggikan rasa takut kepada Allah,
Berkawan dengannya membawa kita berjuang ke jalan Allah.

Bila persahabatan disulami dengan iman dan taqwa,
bila tidak bertemu kan terasa rindu,
bila berjumpa rasa bahagia,
bila berbicara pasti memberi seribu makna,
bila ditegur hati lapang dan mudah menerima.
bila kita menangis dia berusaha menyeka air mata,
bila kecewa,dia rawat dengan kata-kata hikmah,
bila marah dia minta kita meluah rasa padanya,
agar marah itu tidak tebawa-bawa,
agar syaitan tidak berjaya memperdayakan kita,
dalam keupayaan mengawal nafsu amarah.
Bila kita jatuh dia akan membangkitkan kita,
bila kita berputus asa dia ingatkan janji Allah pada kita,
bila diftnah dia tetap setia mempercayai kita,
bila kita berjaya,dia turut sama bersyukur dan gembira.
Kebaikan kita di cerita,keburukan kita dirahsia.
Tidak jemu membimbing.
Tidak jemu berkongsi.
Tidak jemu mendengar.
Tidak jemu memberi nasihat.
Itulah sahabat...

Oleh itu,bagaimana pula dengan kita?Sahabat seperti apakah kita ini?



Pelajar itu memelukku lalu mengucapkan terima kasih padaku.Dia berkata,"Cikgu memahami apa yang saya rasai dan lalui.Cikgu,doakan saya menjadi sahabat yang baik agar saya juga memperoleh sahabat sebaik ini.Cikgu,saya dah penat dipergunakan dan saya letih dengan 'sahabat' yang cemburu dengan apa yang ada pada saya.Saya merasakan seolah-olah 'sahabat' saya itu tidak bersyukur dengan apa yang ada pada dirinya.Saya mengharapkan persahabatan ini membawa kami untuk lebih dekat kepada Allah.Bukankah bila kita sudah berjanji menjadi sahabat,maka kita meraikan dan mensyukuri kelebihannya,dan kekurangannya di redhai dalam masa yang sama berpesan-pesan pada kebaikan.Nasihatku padanya,"Tidak mengapalah,kita doakan agar dia dan kita berubah menjadi sahabat yang lebih baik kerana Allah Taala.Sama-sama bermuhasabah diri dan berdoa agar persahabatan itu kekal dan semoga Allah kurniakan juga sahabat yang baik buat kita.Lapangkan hati kita,mulakan perubahan dari diri kita dulu,cuba bersangka baik pada dia.Berikan dia ruang dan peluang dahulu.Aku membisikkan satu ayat ditelinga pelajarku :

"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan antara satu sama lain,kecuali mereka yang bertaqwa"(Al-Zukhruf:67)



Bersabarlah dan jom sama-sama kita menimba ilmu,memantapkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.Cikgu sayang kamu kerana Allah".Senyumku padanya.Pelajar itu tersenyum dan mencium tanganku lalu meminta izin untuk pulang.Aku mengangguk padanya.Sambil aku melihat dia berlalu pergi,hatiku berdoa:"Ya Allah,jadikanlah anak didikku soleh dan solehah,lembutkan hatinya,cekalkan jiwanya,mantapkan keimanan dan ketaqwaannya kepada MU YA Allah,Berkatilah mereka Ya Allah..Aamiin"




Wednesday, April 4, 2012

Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah..

Ikatan Silaturahim



Mari kita hayati dan amalkan beberapa perkara yang menguatkan ukhuwah Islamiah berdasarkan panduan Rasulullah SAW:-

1-Memberitahu kepada sahabat bahawa tujuan ikatan persahabatan adalah kerana Allah
2-Saling mendoakan sahabat tanpa pengetahuannya
3-Menunjukkan kegembiraan dan senyuman apabila berjumpa
4-Berjabat tangan apabila berjumpa
5-Mengetahui namanya dan ahli keluarganya
6-Memberikan hadiah pada waktu-waktu yang sesuai..

Nah..mudah bukan..jadi apa tunggu lagi sahabat,ayuh kita praktikkan panduan ini..moga2 bisa mengeratkan cinta dan kasih sayang dalam persahabatan..amin..Semoga persahabatan yang terjalin dapat membawa kepada keikhlasan dalam perjalanan hidup serta diredhai Allah :-)

"Itulah yang Allah gembirakan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.Katakanlah:'Aku tidak meminta kepadamu upah untuk ajaran Islam yang aku sampaikan itu,melainkan kasih mesra disebabkan pertalian kerabat.Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu yang baik,Kami tambahi kebaikan baginya kebaikannya itu.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya."(Surah Asy-Syra 42:23)

Tuesday, March 8, 2011

Dikau yang menyelia...





Waktu ini..kau cuba menahan rasa
Air mata seringkali diseka
Tanda kau masih punya tenaga
Menghadapi detik dan waktu seterusnya
Kau punya kekuatan..
Kau yakin dengan kebenaran..
Namun akhirnya..
Mengalir jua air matamu
tanda kekerdilan diri sebagai seorang hamba..

Nazirah..
Seindah namamu..
Ku ingin kau tahu dikau sahabatku..
Terima kasih berada disisiku..
Saat aku memerlukanmu..
Nazirah..tabahlah...
Ukhwahfillah abadan abada...


Sunday, February 13, 2011

25 pesanan Luqmanulhakim





01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga. 

03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam. 

06 – Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH. 

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat. 

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan. 

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya. 

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja. 

12 – Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja. 

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan. 

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka. 

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya. 

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 – Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga. 

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu. 

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal. 

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu

Sunday, January 23, 2011

Hati dan Akal Bicara Cinta


Di sebuah pondok usang milik seorang hamba, akal dan hati berbual berkenaan kasih dan cinta..
Akal : Assalamualaikum, sahabat.
Hati : Waalaikumussalam...
Akal : Apa khabar iman anda?
Hati terdiam...
Akal bertanya sekali lagi.
Akal : Apa khabar iman anda?
Hati : Kurang sihat mungkin.
Akal : Mengapa?
Hati : Aku merindui dia segenap jiwaku...
Akal : Dia yang mana, sahabatku?
Hati : Kedua dia. Dia yang hakiki, juga dia yang entah kemana akhirnya..
Akal : Tidak mengapa, Itukan fitrah manusia.
Hati : Tapi rinduku kepadanya kadangkala membuat jiwaku runsing. Fikiranku melayang terbang jauh ke angkasa. Kadangkala ketika beribadah juga aku teringat dia.
Akal : Cintamu padanya, juga cintamu padaNya, cinta padaNya kan yang lebih utama.
Hati : Tapi... Aku benar cinta dia. Aku benar rindu dia. Aku mencintainya kerana Allah. Kami saling menasihati kepada kebaikan. Aku mahu mengejar syurga bersamanya.
Akal : Apa makna cinta?
Hati : Kasih dan sayang.
Akal : Bagiku cinta itu gila.
Hati : Mengapa pula?
Akal : Apabila kita mencintai seseorang, kita asyik teringatkan dia. Apa yang dikata jangan, sebaik mungkin kita elakkan. Apa yang diminta, seboleh mungkin kita usaha. Bila ada yang lain mendekati, bergelodak rasa cemburu. Apa kau rasa begitu?
Hati : Ya. Begitu yang aku rasa.
Akal : Apa kau tahu apa pula ibadah?
Hati : Orang kata ibadah itu taat dan patuh.
Akal : Ibadah itu juga adalah cinta.
Hati : Bagaimana dimaksudkan begitu?
Akal : Ibadah itu cinta. Berkasih-kasihan dengan Tuhan.
Hati terdiam lagi...
Hati : Jadi... Apa sebenarnya yang ingin kau sampaikan wahai akal?
Akal : Fikirkan, kalau kau benar mencintai dia kerana Allah, apa kau ada mengadu kepadaNya?
Hati : Aku puas sudah berdoa. Aku mendoakannya empat puluh kali setiap hari. Siang dan malam! Tegas hati..
Akal : Apa kau berdoa kepadaNya hanya kerana apabila kau terasa jauh dengannya? Apa kau hanya melipatgandakan ibadahmu ketika jiwamu rasa tak tenang?
Hati diam dan tertunduk...
Akal : Bagaimana boleh kau katakan cintamu kerana Allah. Sedangkan kau mengabaikan Dia ketika cintamu dengannya sedang indah bercahaya. Sabarlah wahai hati. Doamu mu
ngkin tidak makbul sekelip mata. Barangkali Allah akan memakbulkannya di lain masa. Barangkali Allah ada hadiah yang lebih berharga untukmu!
Aliran sungai merah terasa semakin deras meng
alir ke kepala...
Akal : Cinta kepada manusia yang gila seperti itu, hanya layak disandarkan kepada Allah. Allah menarik cintamu kerana Allah lebih mencintaimu. Allah merindui doa dan tangisan hambanya. Allah mahu kau kembali mengindahkan cintamu kepadaNya!
Hati mulai menangis... Sepi... Kesal...
~Artikel iluvislam.com

"Perindahkanlah cinta kepadaNya..kerana Dia lah yang memberi rasa cinta itu"

Wednesday, January 12, 2011

Jodoh merupakan takdir



"Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan" 
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)" (Surah An-Nur ayat 26)

Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut.

Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua.

Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

i. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga.

ii.Mencari nafkah yang jujur dan berhasil.

iii. Pasangan ideal dalam erti;
- bersikap baik terhadap isteri
- dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat
- menerima kekurangan dan kelemahan isteri
- dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu
- dapat menjaga kewibawaan isteri
- dapat membimbing isteri ke jalan yang baik
- dapat menghormati dan menyayangi sanak saudara keluarga isteri
iv. Bapa yang baik dan sayang kepada anak-anak.
v. Pasangan yang baik zahir dan batin.



Ikuti luahan rasa yang ringkas ini sbg contoh bahawa jodoh merupakan takdir.Merupakan kisah benar dari insan yang dekat dengan ku:


[Seolah-olah baru semalam dia mengkhitbahku..
Sama-sama mengikat janji..
Tapi..saat jariku menari-nari menulis apa yang terbuku di hati..
Dia telah pun menjadi tunangan orang lain
Sedang bersiap-siap untuk walimah..
Tanpa memberi penjelasan kepada ku malah tidak memaklumkan sendiri kepadaku
Maka haruskah aku terluka dan kecewa atas apa yang berlaku?
Haruskah aku tangisi atas apa yang terjadi?
Haruskah aku memohon penjelasan darinya ?
Haruskah aku nyatakan segala apa yang telah dijanjikan olehnya?
Tidak..tak mungkin!
Walau ada yang mempengaruhiku untuk berbuat demikian
Aku tidak sesekali akan bersikap sedemikian
Aku punya jiwa yang tidak mati..
Hati yang tidak kosong
Aku punya akal yang waras dalam membuat keputusan
Aku redha atas apa yang berlaku
Perancangan Allah sangat mulia dan sudah tentu yang terbaik buat hambaNYA
Siapalah aku untuk mempertikaikan segalanya
Tiada satu pun yang menjadi milikku..segalanya adalah milik Rabbul Izzati..
Berita ini kuterima dengan hati yang terbuka dan lapang dada
Aku yakin pilihanmu itu adalah yang terbaik untuk menjadi sayap kiri dalam perjuanganmu..
Tahniah buat kalian..aku mendoakan kebahagiaan kalian dalam membina rumah tangga yang penuh barakah
Dan tentang aku..tiada apa yang perlu dirisaukan..kerana perjalanan masih jauh
Banyak perkara yang perlu aku selesaikan
Apabila tiba masanya..ya..pasti aku kana bertemu dengan pemilik tulang rusukku yang terbaik untuk diriku..amin..insyaAllah..]



Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

" Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Surah Al-Furqan ayat 74)

Itulah pengalaman hidup..ujian yang berlaku menjadikan diri kita lebih matang..mudah-mudahan Allah ketemukan yang lebih baik buat dirinya.Begitu juga buat kita semua..berdoalah.dan memintalah pada Sang Pencipta Cinta..jangan mudah terpedaya dengan hawa nafsu yang seringkali akan membolak balikkan hati kita..


Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
" Wahai tuhanku, janganlah ENGKAU biarkan daku seorang diri (dengan tidak memperolehi zuriat) dan ENGKAUlah jua sebaik-baik yang mewarisi " (surah Al-Anbiya', ayat 89)